Pengenalan

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebelum ini dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah. PBD mengekalkan semua konsep Pentaksiran Sekolah dan melibatkan penentuan tahap penguasaan murid dalam setiap mata pelajaran. Tahap penguasaan ini dinyatakan dalam DSKP. Selain daripada Standard Prestasti, Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran juga dirujuk dalam pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bertujuan menambah baik pembelajaran murid melalui pentaksiran formatif iaitu Pentaksiran Untuk Pembelajaran dan juga Pentaksiran Sebagai Pembelajaran. 

Namun begitu PBD juga boleh berlaku untuk melihat pencapaian atau penguasaan murid selepas sesuatu tempoh yang bersesuaian, melalui pentaksiran sumatif. Pentaksiran ini dilihat sebagai Pentaksiran Tentang Pembelajaran. 

Pentaksiran Untuk Pembelajaran
Contoh pentaksiran ini ialah aktiviti soal jawab semasa pembelajaran dijalankan. Maklumat yang diperolehi membantu guru meneruskan PdPc seterusnya.

Pentaksiran Sebagai Pembelajaran
Contoh pentaksiran ini ialah murid membina peta konsep tentang apa yang telah dipelajari bagi mempamerkan pemahaman dan hubungannya dengan pengetahuan semasa. Pentaksiran ini memberi peluang kepada murid belajar dan memikirkan cara mereka belajar. 


1. Pentaksiran Kendiri
Murid menilai kerja mereka sendiri berdasarkan bukti dan kriteria yang jelas

Bentuk pentaksiran kendiri ialah:
- Rancangan / diari mingguan murid
- Soal selidik
- Portfolio
- Pemarkahan merujuk kriteria tertentu
- Helaian pentaksiran dengan memberi ulasan
- Maklum balas secara lisan
- Perbincangan kumpulan atau individu
- Kenyataan peribadi untuk kad laporan
- Persediaan dan perancangan ke arah hasil kerja muktamad
- Analisis kriteria dan keupayaan pentaksiran murid


2. Pentaksiran Rakan Sebaya
Memberi peluang kepada murid untuk belajar dalam pasukan atau kumpulan dan melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran dengan bertanggungjawab. 

 

Objektif PBD

PBD dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di samping memberi maklum balas tentang pengajaran guru. 

Melalui Pentaksiran Bilik Darjah, guru dapat:
- mengesan pengetahun sedia ada murid
- mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
- mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran dari semasa ke semasa
- mengetahui keberkesanan PdPc
- merancang, mengubah suai dan menambah baik kaedah PdPc
- menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta

Melalui Pentaksiran Bilik Darjah, murid dapat:
- mengesan perkembangan diri
- mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran
- meningkatkan pencapaian pembelajaran